CONGKAK

Congkak ialah permainan yang terkenal di kalangan masyarakat Melayu. Permainan ini mudah dan dapat melatih pemain-pemainnya membuat keputusan dengan pantas. Kecekapan mengira dan membuat andaian menjada ciri utama permainan congkak. Permainan ini dimainkan oleh kaum wanita khasnya gadis-gadis.

Alat utama permainan ini ialah papan congkak. Papan ini diperbuat daripada kayu keras kira-kira 90 sm panjangnya. Dua baris lubang berukuran 7.0 sm panjang dan 7.0 sm dalam ditebuk di papan itu.

Lubang-lubang itu dipanggil rumah dan barisan-barisan lubang itu dipanggil kampung. Setiap baris terdiri daripada lima, tujuh atau sembilan rumah. Setiap pemain memiliki rumah yang besar di sebelah kirinya.

Papan congkak ini diukir dengan cantik menggunakan motif-motif ukiran Melayu tradisional. Antara motif yang digunakan ialah awan larat dan motif daun.

Bermain congkak mudah sahaja. Dua orang pemain akan bermain congkak dan mereka duduk berhadapan di sisi papan congkak. Pemain hanya perlu mengisi lubang-lubang rumah masing-masing di "kampung" mereka dengan "buah." "Buah-buah" yang digunakan mungkin terdiri daripada kulit-kulit siput, guli, biji-biji asam jawa ataupun getah yang telah dibersihkan.

Pada awal permainan kesemua lubang itu, kecuali dua lubang di hujungnya diisikan jumlah buah yang sama banyak. Kedua-dua pemain akan memulakan permainan atau 'berjalan' serentak. Pemain-pemain boleh mengambil buah-buah dari mana-mana rumah di dalam kampungnya. Pemain "berjalan" mengikut putaran jam. Dia menjatuhkan sebiji buah ke dalam setiap rumah. Sebiji buah diisikan ke dalam rumah besar di hujung papan congkak.

Permain-pemain akan terus "berjalan" ke kawasan lawannya. Rumah lawannya di hujung papan congkak tidak perlu diisikan. Pemain terpaksa berhenti ketika buah terakhirnya masuk ke dalam rumah yang kosong. Lawannya akan terus "berjalan" sehingga dia juga mengalami keadaan yang sama. Pemain tadi boleh terus berjalan setelah lawannya "mati" atau buah terakhir sampai ke lubang kosong.

Sekiranya pemain berhenti di kampung sendiri dan terdapat buah di rumah lawannya dia dikatakan melakukan "tembak' atau "tikam". Buah-buah di dalam rumah lawannya itu boleh dirampas.

Dalam pusingan berikutnya pemain-pemain mungkin kehilangan rumah kerana tidak cukup buah untuk diisikan. Lubang itu dikatakan "terbakar" dan ditutup untuk sementara waktu.

Permainan ini akan berterusan sehingga semua rumah di dalam kapung salah seorang pemain terbakar. Kedudukan ini dinamakan jadi "abu".

Pemain-pemain yang cekap akan mengambil masa yang lama untuk mengalahkan antara satu dengan yang lain. Pemain-pemain berkemampuan memulihkan rumah-rumahnya yang "terbakar" dalam pusingan-pusingan seterusnya.

Permainan ini bukan sahaja menjadi permainan untuk mengisi masa lapang tetapi dapat melatih pemain-pemain berfikir dan mencongak dengan pantas. Pendidik-pendidik pada hari ini menganggapnya sangat berguna untuk membantu perkembangan pemikiran kanak-kanak. Permaianan ini digalakkan untuk digunakan sebagai alat bantuan mengajar dalam pelajaran Matematik.