WAU
Permainan wau atau layang-layang di Kelantan pada mulanya dipercayai mempunyai unsur-unsur ghaib. Permainan ini menjadi saluran perhubungan manusia dengan alam. Wau dipercayai sebagai saluran perhubungan dengan semangat angin dan langit.
Hari ini unsur itu diketepikan. Wau menjadi permainan rakyat untuk mengisi waktu lapang. Wau juga telah menjadi satu permainan yang dipertandingkan.
Di Kelantan, wau mempunyai pelbagai bentuk. Bentuk yang paling terkenal ialah Wau Bulan. Wau Bulan mendapat namanya daripada bentuk bahagian ekor yang menyerupai bulan sabit. Selain itu, terdapat wau jenis-jenis lain seperti Wau Burung, Wau Kuang, Wau Puyuh dan Wau Katak. Wau-wau ini dinamakan mengikut bentuk haiwan-haiwan tersebut.
Kemahiran dan ketelitian diperlukan ketika membuat wau. Hanya tukang yang mahir dapat membuat wau yang baik lagi cantik. Jika tidak mahir membuatnya wau itu tidak boleh naik.
Buluh yang digunakan untuk membuat wau ini dipilih dengan teliti. Buluh yang dipilih mempunyai ruas yang panjng. Buluh itu dipotong dan diraut dengan teliti supaya imbangannya dapat dikekalkan. Wau yang mempunyai imbangan yang baik akan dapat terbang tinggi dan tenang seolah-olah tegak terpacak di atas tanah.
Wau lazimnya dihias indah. Kertas-kertas yang digunakan dilukis cantik dengan motif awan larat dan motif-motif lain. Wau-wau ini mempunyai saiz yang besar. Ada antara wau-wau ini yang berukuran enam meter lebar dan enam meter tinggi. Wau ini memerlukan tali yang besar dan kira-kira 10 orang dewasa untuk menaikkannya. Wau sebesar ini hanya boleh terbang ketika angin bertiup dengan kelajuan 10 knots.
Pertandingan wau dibahagikan kepada beberapa bahagian. Antaranya wau paling tinggi, wau paling tenang, wau memiliki bunyi yang terbaik dan tidak ketinggalan wau yang mempunyai hiasan tercantik.